13 July 2014

Ramadan 1435 £5

Setiap kali menukar pakaian, amalkan membaca Bismillah. Nescaya, syaitan dan iblis tak nampak.

::

Sekiranya kerap melakukan dosa, terutama kepada manusia lain. Namun sukar berubah kerana sikap individu yang berurusan atau yang diuruskan.

Maka, cukup baik jika :

  1. Sedar tentang kesalahan tersebut, ertinya tahu bahawa apa yang kita lakukan itu salah.
  2. Niat mahu berubah.
  3. Doa, berusaha untuk memperbaiki diri. Mohon petunjuk dan pertolongan Allah.
  4. Sabar, jika ia melibatkan manusia maka sabar. Kerana dalam sabar yang sengsara itu ada indahnya.
Nescaya jika kita sedar dan berniat sedemikian, percayalah bahawa pertolongan Maha Pencipta itu sangat dekat.

::

Bersangka baik dengan umat Islam. Bersangka baik.


Pra Perkahwinan : £1 Pilih Kasih

Pejam celik dah tinggal dua angka.

Semenjak secara halus mengumumkan pertunangan, ramai yang bertanya pelbagai soalan. Tidak kira rakan - rakan lelaki mahupun wanita.

Majoriti persoalan adalah berdasarkan pengalaman, maklum sahaja dikelilingi majoriti bujang seusia.

Semua mahu maklum, sebelum masing - masing turut terjun ke lembah persediaan membina masjid. Seperti penulis pernah sebut sebelum ini, berlajar dari pengalaman manusia, apatah lagi belajar daripada kesilapannya.

Maka, satu persatu persoalan penulis nak kongsi sepanjang pra pernikahan.

Soalan satu, yang paling banyak dan kerap diaju :

Bagaimana nak tahu bahawa dia (belum beliau sebab masih dalam fasa fikir - fikir) adalah jodoh kita?

How do we know or determine that she's the one?

::

Maka, 

Ada orang yang peroleh tanda melalui mimpi. Secara luar sedar yang tak mampu dikawal dan semerta peroleh petanda ketika lena. Justeru perhatikan sahaja jika ada mimpi - mimpi.

Namun, ia hanya boleh hadir jika sudah berusaha. Lazimnya, dirikanlah solat istikharah. 

Manakala, penulis pula turut mimpi. Namun ia tidak jelas nyata. Boleh jadi minda luar sedar bermain ketika tidur kerana rindu? Atau teringat - ingat.

Bagaimana nak menentukan jika mimpi yang diperoleh adalah benar atau tidak, ada sendiri akan tahu.

Lantas, kita pergi kepada bukti nyata. Yang pasti kita boleh kawal dan sedar tanpa ragu.

Hati.

Sekiranya sudah berkenalan dan hati begitu kuat tertaut.

Buatlah apa sahaja, bertemu dan berkenalanlah dengan sesiapa pun. Namun hati tetap tidak jemu mahupun berpaling.

Tatkala, individu pilihan atau yang belum menjadi pilihan itu dalam kepayahan atau keresahan. Dengan mudah dan sendirinya tampil beri hulur tangan.

Tak payah cakap soal cemburu, ini wajib.

Rindu? Kalau boleh nak hampir secara zahir dan sering bersua muka. Bual suara, pesanan ringkas malah facetime tidak mampu bendung gelora dalam hati.

Paling jelas, setiap kali bertemu. Hilang segenap isi dunia. Senyuman tidak lekang. 
Lebih terperinci, telefon boleh letak tepi. Clash of clan boleh tunggu dan mata tak jemu mere...oh yang ini dosa. Maka lekas nikah.
"Rendahkan pandangan wahai anak Adam.."

Dan tiada soal, kewangan, masa dan tenaga. Dengan senang hati semua untuknya.

::

Lantas dengan sedikit nasihat dan perkongsian. Maka ada beberapa yang dah pun bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan. Tidak kurang yang mulai mencongak keperluan rohani dan kewangan. Biasanya emosi sudah ke awangan.

Setiap kali pun rasa macam tidak cukup menulis namun cukuplah. Kerana menulis ini untuk dibaca, manusia lebih mudah mendengar daripada membaca. Tambahan, tatapan ini untuk umum maka terpulang kepada pemahaman dan pencerahan selepas penulis kongsi idea tunjang.

£2 kita bincang isu persediaan terutama material dan £3 mungkin soal dilema menuju perkahwinan.

ps : Rajin doa. Tuhan mengerti yang jauh dalam hati meski tidak terluah oleh lidah.



06 July 2014

Ramadan 1435 #4

"Adakah kamu menyangka Kami ciptakan kamu sia - sia dan kamu takkan dikembalikan kepada Allah swt?"

Matlamat kita diciptakan agar kita berjaya di dunia dan akhirat.

Yang mewarisi Islam hanya menjadikan amalan sebagai ikutan.

Apa yang terjadi kepada kita adalah ujian. kemewahan, pangkat, gaji. Adakah kita bersyukur?

Kesusahan, kemiskinan. Adakah kita redha?

Jika kita tak kejar kebaikan dalam Ramadan, betapa rugi.

Golongan 1, celaka di dunia bahagia di akhirat. Kepayahan hidup menjadikannya dekat kepada Allah.

Golongan 2, bahagia di dunia celaka di akhirat kerana kesenangan menyebabkan dia kufur kepada Allah.

Golongan 3, celaka di dunia celaka di akhirat kesusahan tidak mendidik dia kembali kepada Allah.

Golongan paling berjaya, bahagia di dunia dan akhirat. Kesenangan tidak lupa kepada Allah.

Persepsi yang kita letakkan kepada Islam. Kena naik basikal, baju tak gosok, pakai kopiah sehingga orang takut mendekati Islam sedangkan sahabat - sahabat tidak meninggalkan dunia.

Jangan tinggalkan solat dhuha kerana ia menjemput rezeki.

Riak ini bukan kerja manusia. Persepsi kita terhadap perkara yang tidak zahir.

Ramadan. syukur kerana peluang menjadi baik. Nak berubah dalam bulan Ramadan lebih mudah berbanding bulan - bulan lain.

Dibukakan pintu rahmat dan dibukakan pintu syurga.

Mudahan Allah terima puasa kita.

Rasulullah bersabda, "Berapa ramai yang berpuasa tetapi hanya peroleh lapar dahaga."

::

Tatkala ustaz menyentuh tentang perjalanan mualaf atau saudara baru untuk menemui Islam menjadikan dia begitu hebat.

Sebaliknya kita yang mewarisi Islam, ambil mudah.

Natijahnya, kita atau manusia atau bangsa tertentu seakan memang hanya akan menghargai sesuatu apabila ia telah hilang atau selepas berhempas pulas memperolehinya.

Mungkinkah generasi ini perlu merasai peritnya kehilangan sebelum merasai manisnya iman?

Soal riak, kita tidak berupaya menentukan sama ada niat manusia itu adalah kerana riak.

Kerana riak tersembunyi disebalik yang zahir.

Pakai kancil pun boleh jadi riak.

Jaga - jaga.

Sebaliknya tanamkan bersangka baik, barulah perkara - perkara positif mendekat. Betul? :)

ps : Maafkan dan cari kebaikkan. Jika perlu, tegur.

02 July 2014

Ramadan 1435 #3

Baki Ramadan tinggal 24 atau 25 hari sahaja lagi. Kini sudah malam kelima.

Adakah sudah cukup amal ibadah yang kita lakukan dalam Ramadan setakat ini?

Apakah kita masih berpeluang untuk menikmati Ramadan lagi esok?

Kemeriahan Ramadan sudah ibarat kejohanan bola sepak, semakin lama semakin kurang penyertaan kerana penyingkiran di peringkat suku akhir, separuh akhir sehinngalah akhir. 

Jadilah kita yang kekal sehingga pusingan akhir dan seterusnya menjuarai Ramadan. 

Yang tidak hadir terawih secara berjemaah kerana alasan letih, hairannya yang hadir tidak pula letih. 

Al-Baqarah 120, "Tidak akan redha Yahudi dan Nasrani selagi kamu tak mengikut agama mereka." 

Percaya kepada Al-Quran bukan kepada kata - kata musuh Islam. 

Kita yang banyak komen berkenaan cabaran umat Islam di Palestin, Syiria. Apa sumbangan kita?

Tiap - tiap tahun, adakah kena solat sahaja ke? Puasa sahaja ke? Yang lain - lain kemudian ke?

Kesedaran bahawa Islam bukan untuk ibadah sorang - sorang. Tetapi Rasulullah saw sampaikan ajaran Islam untuk semua. 

::

Selepas perkongsian ustaz, ada kebenarannya. Jika Rasulullah saw menyampaikan Islam hanya untuk beribadat bersendirian maka pasti umat Islam adalah kelompok manusia introvert yang anti - sosial.

Pemilihan arah tuju hidup kita adakah hanya cukup sekadar: 

Pergi kerja balik kerja, ambil tahu isu semasa saudara seagama lain, kongsi pautannya dan komen penuh emosi, duduk dirumah melayan perasaan sambil menempelak nasib diri di laman sosial.

Adakah cukup bantuan kita kepada saudara seagama, andai itu sahaja yang mampu kita persembahkan pada Maha Pencipta kelak sambil mendendang bahawa kita layak ke syurga?

Ya Allah, ampunkan kami kerana kami ramai namun kami tak berdaya membantu saudara kami.

Ya Allah, bimbing kami agar kami tidak menjadi umat yang tidak ambil peduli tapi juara papan kekunci.

Ya Allah, jangan jadikan kami mereka yang bersorak dan merai tatkala menang namun berundur ketika saudara kami bersendirian di medan tempur.

Ya Allah, kurniakan kami kekuatan dan ruang agar kami mampu menyumbang dalam apa jua keadaan yang Engkau redha.

Amin.

ps: pemerhatian adalah pengajaran bukan perbandingan.

30 June 2014

Ramadan 1435 #2

Rugi yang datang padanya Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya.

Dua solat paling utama yang digalakkan berjemaah, subuh dan isyak.

Peluang ramadan peluang dimanfaatkan.

Allah berasa gembira apabila hambanya kembali bertaubat kepadanya ibarat orang yang dipertemukan semula anaknya yang hilang.

Kembali bertaubat, perbanyakkan berdoa dan berazam melakukan perkara baik.

Hidupkan Ramadan dengan zikir, doa, tadarus.

Orang yang sibuk memikirkan akhirat hatinya akan tenang.

29 June 2014

Ramadan 1435 #1

Selamat berpuasa kepada semua dan seperti tahun - tahun sebelumnya berikut adalah ringkasan tazkirah atau kuliah di sepanjang bulan mulia ini.

Rukun Puasa :
  1. Niat puasa. Perlu dilakukan sebelum terbit fajar. Sunat niat puasa selama sebulan.
  2. Menahan diri daripada perkara membatalkan puasa.

Siapa diwajibkan berpuasa?
  1. Islam.
  2. Berakal dan baligh.
  3. Bermukim, orang tinggal menetap. Musafir tidak wajib namun perlu qada.
  4. Tidak uzur. Haid dan nifas, faktor usia dan kesihatan.
  5. Perkara - perkara yang membatalkan puasa :
  6. Makan dan minum dengan sengaja.
  7. Memasukkan sesuatu ke dalam liang rongga yang terbuka sehingga melampaui ruang.
  8. Muntah dengan sengaja.
  9. Berjimak pada siang hari.
  10. Bersedap-sedapan. Sengaja mengeluarkan air mani.
  11. Haid dan nifas.
  12. Gila dan murtad.

Marilah kita bersama mendatangkan kegembiraan (mood) dengan kehadiran Ramadhan dengan ucapan - ucapan mengalukan kedatangan Ramadan, memakai pakaian yang indah ketika ke masjid atau surau dan mempertingkat amalan sunat.

Mudah - mudahan Ramadan kali nyata lebih baik berbading usia sebelum ini.



ps : sebagai tambahan di sini penulis kongsikan satu pautan berkenaan budaya maaf dan bagaimana Rasulullah saw mengajar kita kasih sesama manusia. Mudahan ada hati yang tenang.

http://www.youtube.com/watch?v=x0r75p24Phg

28 April 2014

Sudut Laporan #1 : Dadah dan Kuala Lumpur


Kelmarin penulis berpeluang mengikuti Ops Selamat yang dikendalikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Berikut adalah butiran yang tidak tersiar atas kekangan waktu laporan dan garis panduan tidak bertulis media massa Malaysia.

1. Pusat Pulih dan Rawat (Cure & Care) dibawah seliaan AADK yang menyediakan pemulihan dan rawatan secara sukarela tidak akan ditutup meskipun ketika ini sambutan "okay".

2. Desas - desus ia ditutup ekoran sambutan tidak memenuhi kapasiti yang disediakan, tidak kos efektif.

3. Majoriti penagih dadah yang ditahan berbangsa Melayu, fasa 1 Ops : 20 Melayu 2 India 1 Cina.

4. Majoriti penagih berusia lingkungan 20-an, paling muda 18 tahun. Paling berusia 73 tahun.

5. Kaedah mengenalpasti penagih adalah tertumpu kepada golongan gelandangan.

6. Trend tahanan kes penagihan menunjukkan kes penagihan berulang adalah tinggi.

7. Namun AADK lebih menumpukan kepada pencegahan dengan beberapa strategi baru bakal diperkenalkan bagi mengelakkan penagih baru dikalangan remaja rentetan pertambahan penagih kelompok itu, khususnya yang masih bersekolah.

8. AADK bersetuju bahawa kaedah rawatan di Pusat Pemulihan perlu dikaji semula ekoran banyak kes penagih menagih semula, namun tetap menekankan isu penerimaan keluarga dan masyarakat menjadi punca mereka kembali kepada gaya hidup berkenaan.

::


Berdasarkan kenyataan - kenyataan ini, penulis berpendapat :

1. Isu penerimaan manusia tidak boleh lagi dijadikan alasan kepada penagihan, sebaliknya ketika proses pemulihan dan rawatan dilaksanakan langkah baru dan penerapan nilai agama perlu diperhalusi malah diperhebat. Sejahat mana pun manusia pasti ada sekelumit rasa ingin memiliki kehidupan tenang. Masyarakat luar adalah di luar kawalan agensi penguatkuasa, soal pengetahuan agar menerima semula penagih. Sebaliknya penagih adalah benar - benar milik agensi ketika melalui proses rawatan dan pemulihan.

2. Kewujudan C&C adalah lambang kematangan Malaysia berhadapan isu psikologi manusia, trend serupa sering digambarkan dalam filem barat berkenaan komuniti kecil yang berkumpul dan bertemu demi mendapatkan bantuan. Justeru, hebahan berkenaan pusat ini mesti dipergiat kerana penagih tidak semestinya penjenayah namun mereka semestinya adalah manusia.

3. Melayu tetap dalam kelas tersendiri mendominasi pendemik negatif masyarakat. Akademik, kemiskinan dan jenayah sosial.

4. Hanya sekali operasi, bilangan tahanan menghampiri jumlah penguatkuasa (204 kakitangan dengan 120 tahanan). Saiz adalah limitasi kepada kawasan berisiko dan golongan penagih berprofil tinggi.

5. Guru perlu menjadi sahabat AADK, kenalpasti dan cegah bibit dadah di kejiranan, kerana tanggungjawab bukan hanya 20 minit sewaktu.

20 April 2014

Perihal Kasih #2000

Menginjak usia suku abad, individu di sekeliling pada ketika ini rata - rata mulai merancang untuk berumah tangga.

Tidak hairan ramai yang menghujani pelbagai soalan kepada penulis tentang persiapan secara material, rohani dan mental.

Masing - masing memiliki impian untuk melangkah ke fasa bertenang dalam hidup, bukti bahawa setiap insan inginkan ikatan perkahwinan meskipun dihimpit sandiwara dan cabaran dunia.

Dilema dalam memilih pasangan, memilih waktu, merancang bajet.

Nasihat penulis, dialah. Jika dia yang paling gembira saat setiap kali bertentang mata.

Sudah tiba kepada fasa dewasa dan tanggungjawab kepada orang sekeliling dan masyarakat.

Seandainya baik yang dipimpin maka baik yang mengekor.

Kini, setiap niat, pilihan dan tindakan penulis adalah kolektif bukan lagi "sendiri buat sendiri tanggung".

Namun dalam pada apa jua perubahan yang penulis lalui ketika ini ia mustahil dikecapi tanpa Kamu.

::

Setiap dua ribu malam yang telah dilalui telah membentuk kendiri. Jika bukan kerana kamu, di manakah saya ketika ini?

Proses mendewasakan saya adalah amat mencabar, terima kasih kerana berada pada setiap masa ia berlalu.

Namun ke langit mana saya dilempar sekalipun, tetap sedar bahawa tiada lah yang lebih istimewa saya ini melainkan hanya manusia biasa. 

Maafkan andai dalam setiap lonjakan masih tersandung.

Maaf tak mampu pastikan tiada siapa yang terluka tatkala tersandung.

Pun demikian, inilah hasilnya.

Untuk dua ribu hari lagi, dua puluh ribu hari lagi malah andai wujud dua ribu hayat, tiadalah lain saya inginkan kekal bersama menyaksikan lebih banyak yang dewasa bersama kita.

Inilah saya. Impian melihat segala impian kamu tercapai dan tenang dalam setiap langkah meniti impian.

Nantikan kelak, saya pimpin tangan dalam langkah - langkah kita.

11 April 2014

Ikatan Kasih #153

Setiap kali bangkit dari lena yang berulang.

Hati terusik mengenangkan sifat - sifat sebaliknya diri penulis.


  • berpagi - pagi
  • menepati masa
  • rajin
  • bertanggungjawab
  • bijak
  • jujur
  • ...
Senarai ini mungkin berpanjangan namun setiap kali jua mampu bangun lantaran wujudnya pemilik sifat berkenaan yang punya hati dan ruang berserta keizinan benarkan penulis menumpang kasih juga perhatian.

Terima kasih, Khairunisak. 
Penghargaan tidak padam buat Ustazah Khairunisak. 
Hamparan kasih persembahan khusus milik Kamu.

::

Seperti sungai yang mengalir pasti akan ke laut 
HabieBie, begitulah seterusnya 
Ada perkara yang ditakdirkan bersama

Capailah tangan saya
Kemudian garaplah seluruh hidup saya 
Kerana saya tidak mampu menahan jatuh cinta kepada kamu
Buat sekian kalinya

ps : Kekal teruja dengan ini. Tiada yang mustahil dengan kasih dan sayang Allah. :)